|
Jangan Ada Benci 3
Sunday, March 6, 2011 | 8:16 AM | 0 star
Peristiwa petang tadi memang betul-betul buat Eliza sakit hati. Dia balik ke rumah tanpa sedikit pun memberitahu Mak Tok. Biarlah, biarkan seluruh keluarga Shahrul Harriez tu tau yang mereka berdua tak ada serasi, macam Tom and Jery. Eh tapi Tom and Jerry tu ada masanya bersahabat jugakkan? Pepatah tak boleh pakai.
Sejak lepas isyak Eliza memerap di dalam bilik kecilnya. Malas dia nak bersoal jawab dengan Mak Long, dah tentunya Mak Long akan bertanya perhubungannya dengan Shahrul Harriez. Bukan Eliza tak tahu yang Mak Long berkomplot menyuruh dia ke rumah Mak Tok petang tadi.
Pintu biliknya diketuk dari luar, terdengar suara Mak Long memanggil dan Eliza tak sampai hati untuk menjauhkan diri. Mak Longlah segala-galanya dalam hidup Eliza, hitam kata Mak Long maka hitam jugaklah katanya. Sebaik sahaja pintu biliknya terbuka Mak Long terus duduk dibirai katil.
Pelik juga bila Mak Long yang tak pernah penat bercakap boleh duduk diam tak bersuara. Kenapa pulak jadi macam ni, dah habis idea ke? Eliza jadi serba salah, apa ni Mak Long, tak bestlah kalau Mak Long tak membebel, serius semacam je macam masalah berat sangat. Selepas dua minit lapan saat baru Mak Long buka mulut.
“Eliza, Mak Long minta maaf kalau tindakkan Mak Long nak jodohkan kamu dengan cucu Mak Tok buat kamu tak senang. Mak Long faham kamu ada cita-cita nak sambung belajar lagi. Siapa yang tak suka kalau anak belajar tinggi dan ada semangat nak berjaya, tapi Mak Long buat ini semua pun sebab terpaksa nak.” Bahu Mak Long dah mula terhinggut-hinggut mengikut irama sedih sambil airmata meleleh. Isskkhh.. aku kalau orang tua dah cakap sambil keluar airmata ni memang tak boleh tahan laa, mesti cair jugak.. kesian..
Mak Long terus dengan irama syahdunya bersulam esak tangisnya yang sesekali jelas kedengaran berpadu dengan harapannya tinggi menggunung supaya aku dijodohkan dengan makhluk dua kaki tu. Betul punya ayat Mak Long sumbat dalam kepala, sampai Eliza tak kuasa nak fikir untuk menolak cadangan Mak Long. Eliza hanya menganggukkan kepala tak ubah macam belatuk tebuk lubang kayu.
“Mak Long..”.. Eliza memaut tubuh gempal emak saudaranya. Dua puluh tahun hidup jagaan Mak Long membuatkan Eliza sentiasa mengalah dan menurut kemahuan ibu saudaranya. “Mak Long janganlah rasa bersalah, saya…saya.. ikut segala kemahuan Mak Long..”
Mak Long memandang wajah anak saudaranya itu, wajah yang tadi muram dah mula berseri-seri bila Eliza memberi kata jaminan untuk menurut kata-katanya. Tapi Mak Long masih belum puas.
“Mak Long bukan mahu kamu jadi pak turut Eliza..ini soal kahwin, soal masa depan kamu. Jadi seorang perempuan bukannya ada pasang niat untuk hidup bercerai-berai. Sebelum jadi apa-apa yang tak baik di masa depan kamu masih ada masa untuk berfikir.” Mak Long yang tadi bersuara sedih sekarang dah bertukar menjadi lantang.. ohh dah tukar lorong marah kut, tu yang cakap pun tiba-tiba bersemangat.
“Ya lah Mak Long, dalam masa bertunang ni nanti kami berkenal-kenallah. Kalau memang tak serasi ha, tu tandanya tak ada jodohlahkan. Alaa, minggu depan baru nak bertunang….”
“Minggu depan bertunang apanya…? Terus nikah tak payah tunang-tunang. Esok bakal suami kamu datang jemput kamu pukul tujuh pagi nak bawak pergi kursus nikah di Kuala Lumpur, kat mana ke.. Permata..Pertama..? Entahlah aku tak peduli, yang aku tau esok kau bersiap pagi-pagi. Kursus tu mula awal pagi, eloklah kamu berdua bertolak awal-awal nanti terlewat pulak. Tak elok nak buat hal kerja kawin ada halangan biarpun Cuma lewat pergi kursus..”..
Tiba-tiba Eliza rasa nak pitam, baru petang tadi dia melancarkan perang dengan Shahrul Harriez, alih-alih esok pagi-pagi nak pergi kursus kahwin dah..? Oh tidak……
“Eh..kamu ni tiba-tiba jadi batu pulak kenapa? Mana ada aku sumpah kamu jadi keras macam Si Tanggang, aku cakap kamu esok pergi tu bawak sekali baju untuk bermalam di sana kamu dengar tak?
“Mak Long, kenapa nak kena bermalam di Kuala Lumpur pulak? Saya nak tidur rumah siapa? Iskh, tak naklah, bukan jauh sangat pun sampai tak boleh nak balik ke rumah. Lagi pun tak mahulah saya bermalam di rumah dia, apa pulak kata orang…”
“Siapa kata kamu bermalam di rumah dia? Kamu nanti tidurlah kat rumah mak dia, Harriez tu baliklah ke rumah dia sendiri.”
“Mana Mak Long tau..?” Huh .. aku pun dah jadi sebijik macam Mak Long.. ehh anak asuhan Mak Long kan.. hehehe..
“Aku tau lah, Mak Tok kamu yang cakap, lagi pun tak kanlah orang tua tu nak biarkan korang yang tak nikah lagi ni nak duduk serumah. Dahlah, siap cepat esok jangan nak terkocoh-kocoh, ingat Harriez ambil kamu pukul tujuh.”
Arahan Mak Long yang sama tegas macam asker pencen, amboi, tadi bukan main tangkap leleh, sedih bukan main. Ingatkan Mak Long dah tukar fikiran nak batalkan pertunangan tu, alih-alih dah jadi kawin ekspres pulak. Tadi pura-pura sedih ke atau nak buat mukaddimah bagi tau plan dah bertukar.?
Esoknya tepat pukul tujuh Shahrul Harriez dah terpacak di depan rumah Mak Long, macam yang Mak Long dah agak, Eliza akan tergopoh-gapah nak bersiap. Walaupun pakaian sudah dimasukkan ke dalam beg sejak malam tadi, ada jugak yang terlupa disaat akhir.
Mak Long Cuma memerhati gelagat bakal pasangan tu, nampak sangat dua-dua dalam keadaan terpaksa. Eliza yang patuh dan lembut hati, Harriez yang menurut kata. Elok sangatlah tu. Mak Long menguntum senyum, hajat nak berbesan dengan Engku Faridah nampaknya bakal membuahkan hasil.
‘Orang kat sebelah aku ni ada masalah apa agaknya? Dari tadi duduk diam keras macam patung, sikit pun tak berbunyi. Sebelum masuk ke dalam kereta bukan main ligat lagi keluar masuk bilik mengutip barang keperluannya, sekarang kenapa tak bergerak? Dah habis bateri ke apa?’ Shahrul Harriez berkata di dalam hati, ingatkan dia ni bolehlah ajak berbual buat hilang bosan. Tak tau pulak Eliza boleh buat senyap keras macam batu belah batu bertangkup.
Sejak malam tadi macam-macam yang Shahrul Harriez dah fikir, tentang hala tuju perhubungannya dengan Eliza. Hampir subuh baru dia dapat melelapkan mata, jadi pagi ni memang niatnya berbincang dengan Eliza. Tapi kenapa patung chendana ni langsung tak tunjuk riak nak buka mulut? Tak boleh jadi ni, penat-penat fikir setiap sudut, ruang dan masa, alih-alih bila dah bersedia nak buat presentation macam tak jadi pulak. Shahrul Harriez memberanikan diri selepas lebih setengah jam memandu dalam keaadan senyap sunyi.
“Eliza…” Shahrul Harriez memalingkan mukanya mengadap Eliza.
Senyap.
“Eliza..” Kuat sedikit Shahrul Harriez bersuara bila Eliza buat tak dengar. Tiba-tiba Eliza menjerit kuat. Dalam keadaan terkejut Shahrul Harriez membrek keretanya dengan mengejut untuk mengelakkan dari terlanggar objek di depan. Mujurlah kereta jenama dan buatan luar negeri ni berhenti sebelum terlanggar anak kambing yang melintas. Tadi rasanya, tak ada pulak nampak anak kambing di tepi jalan.
“Awak ni dah kenapa, bawak kereta tak pandang depan?” Dengan nada perlahan Eliza bertanya sambil mengurut dada, bukan main terkejut lagi dia bila Shahrul Harriez membrek dalam waktu kecemasan. Fikiran yang melayang tinggi sampai ke langit tujuh tiba-tiba jatuh ke bumi semata-mata kerana seekor kambing.
“Sorry, tak sengaja. Awak tak apa-apa?” Lembut dia bertanya, bimbang kalau anak orang ni tercabut jantungnya sebab terlalu terkejut. Iyalah, dari tadi dia tak berkuit tiba-tiba boleh menjerit. Apa-apa pun aku ucapkan terima kasih pada kau wahai kambing, sekurang-kurangnya patung sebelah ni dah dapat nyawa.
“Tak ada apa-apa, awak tu lain kali bawa kereta tengoklah depan. Nak cakap pun, cakap je lah, bukan saya tak dengar”.
“Mana saya tau awak dengar ke tidak kalau tak menjawab. Baiklah saya terus pandang depan, tapi saya nak bercakap dengan awak”.
“Cakaplah”. Mendatar sahaja suaranya, tapi sebenarnya Eliza cukup main takut bila Shahrul Harriez kata nak ajak berbincang. Tiba-tiba teringat tentang semalam, bila Shahrul Harriez beria-ia mahu dia mencari alasan untuk membatalkan pertunangan. Bukankah malam tadi Mak Long bagi tau yang rancangan untuk bertunang dah jadi majlis akad nikah? Berdebar dada Eliza, bagai ada sesuatu yang menyentap tangkai jantungnya. Macam mana ni, dengan Mak Long aku dah kata setuju, dibuatnya Shahrul Harriez suruh aku fikir bagaimana nak mengelak dari majlis ni macam mana?
Lama Shahrul Harriez mengambil masa untuk menyambung kata-katanya. Eliza makin gementar, sambil menafas oanjang menunggu Shahrul Harriez meluahkan bicara.
“Eliza, kita kahwin, kita teruskan seperti apa yang dirancang”. Shahrul Harriez bersuara tegas.
Eliza terpana, sangkanya Shahrul Harriez akan terus meminta dia mencari jalan untuk memutuskan perhubungan. Kali ini Eliza pula yang memandang tepat ke arah Shahrul Harriez, tetapi dia tetap memandu dengan tenang.
Labels: Jangan Ada Benci |