Warning ! You have stepped onto Twinkling star.Follow me and leave a tag │FollowDashboard
Twinkling Star.

Labels: ,

Impian Seorang Lara 1
Monday, November 21, 2011 | 1:12 AM | 4 comments
Cinta, sayang, rindu. Bukan ke itu terlalu janggal untuk aku ke? Kenapa janggal? Heh.. nak kena buat senarai kenapa aku tak boleh ada rasa cinta, sayang dan rindu tu ke? Macam pelik pulak untuk perempuan tahap umur lewat petang macam aku. Tak apalah kalau tak ada senarai panjang, senarai pendek pun cukup. Kalau tak lalu nak senaraikan, fikir-fikir dan ketuk-ketuk papan kekunci ni pun jadilah.


Aku tunduk menekan kekunci komputer yang berbunyi macam ayam patuk jagung ni. Huikkh. Bising betul! Tapi tak apalah, sebab ada bunyi maka aku kelihatan seperti seorang setiausaha sedang menaip surat rasmi untuk big boss tandatangan. Huaa.. nampak busy sungguh aku. Tapi kenyataannya aku menulis sesuatu yang berlegar-legar dimindaku. Tentang apa aku rasa, aku fikir dan aku inginkan. Ala, senang cakap apa yang aku angan-angankan.

Cakap pasal angan-angan ni buat aku tersenyum macam kambing dapat bunga. Mak kata, budak-budak remaja memang kuat berangan. Statement tak sayang mulut dari mak tu sebenarnya merujuk kepada dua orang anak saudara aku yang memang sedang muda remaja, bukan untuk aku. Tapi aku terperasan sikit sebab aku pun sebenarnya kuat berangan juga. Jadi berangan itu bukan diatas faktor umur, orang macam aku berangan sebab masih ada banyak lagi impian yang belum tercapai. Huhuhu.. banyak laa impian aku.

Apa korang tau pasal angan-angan? Ehh tak sedap la sebut angan-angan, nampak sangat bunyi macam Mat Jenin dan tentunya bunyi sesuatu yang tak boleh nak jadi nyata, jadinya aku nak tukar perkataan angan-angan tu menjadi impian. Haa impian, barulah kelas. Kelassss kau Maria ..! Ahakks..
So, aku ulang semula soalan aku,’apa yang korang tau pasal impian?’ Aku terfikir nak cari maksud perkataan ’impian’ dalam Kamus Dewan, tapi disebabkan aku tak jumpa maknanya dalam internet, jadi aku padamkan aje niat nak kasi maksud perkataan tu, biar aje aku bagi makna impian atas kefahaman aku sendiri. Bagi aku impian adalah sesuatu objektif untuk aku capai tak kira objektif itu aku boleh jadikan kenyataan atau tidak. Selagi aku boleh terfikir apa aku nak, aku boleh senaraikan apa yang aku mahu, semua tu adalah impian aku. No limitation. Fuhh..

Dua hari lepas, masa aku tengah sedap-sedap makan keropok lekor cicah sos cili, anak saudara aku yang umur lima belas tahun tu tanya, ’Apa impian Nyah masa remaja?’ Ceh, apa punya soalan laa, tanya time aku tengah syok layan kenikmatan keropok lekor ni, potong selera aku betul Tapi sebab tak mau hampakan peminat, eh anak saudara aku ni maka aku pun jawablah dengan penuh confidence. ”Impian Nyah dulu nak jadi Engineer.” Tu dia, penuh bersemangat aku menjawab, sambil senyum-senyum dan fikir ’ mesti budak ni respect abih kat aku sebab pernah bercita-cita nak jadi Engineer’ehhehehe. Masih lagi aku tersenyum-senyum, keropok lekor yang tinggal lagi sebatang tu aku ngap, masuk mulut. Hmm yummy..yummy...Impian aku buat masa tu ialah nak menikmati keenakkan keropok lekor.

”Habis, apa dah jadi dengan impian Nyah? Kenapa tak jadi Engineer?” Errkk…. Soalan cepu emas yang aku rasa nak cepuk je mulut budak bertuah ni. Sebab aku masih lagi layan kesedapan keropok lekor yang terakhir tu, cepat aje aku jawab, ‘kau orang mana tau apa-apa pasal impian.’ Lepas tu terus aje aku bangun bawa pingan keropok yang dah kosong tu ke dapur, sebenarnya aku lari dari terus menjawab soalan anak saudara aku tu. Sebabnya, aku tak ada jawapan kenapa aku tidak merealisasikan impian aku. Aku tak ada jawapan kenapa aku tak jadi Engineer. Disebabkab aku tak ada jawapan itu semua, aku kembali bertanya kepada diriku sendiri, apa impian aku?

Rutin biasa aku pada hari Isnin, bangun pukul enam pagi. Mandi dan solat lepas tu terjah dapur, selongkar apa yang patut untuk anak aku makan. Alah apa sangat yang nak dimakan pagi-pagi buta ni melainkan roti dan jem. Aku bancuh air milo dan letak atas meja bersama roti dan jem. Dah siap. Siapa nak makan silakan, tak mau makan tak pe.

Mengejutkan Boy tak susah, panggil sekali dua aje dia dah bangun. Boy satu-satunya anak lelakiku yang berumur lima belas tahun, time cuti sekolah macam ni Boy cuma mampu celikkan matanya pada waktu pagi untuk aku paksa dia solat. Alhamdulillah, setakat ni Boy tak ponteng solat lagi, yang aku nampaklah. Mudah-mudahan Tuhan terus bukakan hati Boy supaya tak tinggal solat. Bila Boy dah siap solat, dia pun terus panjat katil dan sempatlah aku jerit kat dia yang aku dah nak pergi kerja. Bukan aku suka-suka jerit, tapi dengan mata yang tertutup tu, aku pasti telinga Boy juga tak berapa nak terbuka kalau aku cakap perlahan-perlahan. Jadi dengan kekuatan decimal tertinggi yang boleh aku lontarkan di pagi hari, pesanan padat dan ringkas aku tinggalkan ‘ Boy, sarapan atas meja. Nanti lunch makan kat café, mama dah tinggal duit atas meja tu. Bye Darling, I love you’. Boy dengar ke tidak? Alah, tak dengar punya tu, tapi dia taulah nanti.

Selesai tugas aku pada anak tersayang. Seterusnya pada dia. Hmm.. dia yang membuat aku sentiasa tersentap, yang buat jiwa raga aku ranap. Dia juga yang buat aku .. buat aku.. macam ni la.
“Awak.. awak.. saya pergi kerja dulu ya.” Tanganya yang masih dalam bungkus selimut aku gapai dan cium. Rutin biasa aku meminta izin sebelum pergi kerja. Usahkan membalas, kalau aku nampak kelopak matanya bergerak pun cukup baik tanda dia sedar aku nak pergi kerja. Rutin biasa jug, dia akan mengeraskan tubuhnya dan cepat-cepat menyentap tangannya dari pautanku. Ala, tu tanda dia sedarlah tu.

Kunci kereta dan rumah aku ambil dari penyangkut, laungan terakhir untuk Boy, ‘mama pergi dulu’ disahut dengan sunyi sepi. Okey rutin biasa dah selesai. Sekarang rutin untuk aku ke pejabat pula.

Sebut nak ke pejabat bunyinya macam gah aje, macam akauntan yang nak memeriksa buku kira-kira, macam lawyer yang mencari fakta sebelum masuk ke mahkamah, macam..macam-macamlah. Orang pergi pejabat buat apa?

Aku pergi pejabat sebab aku kerja, dan kerja aku bukanlah seperti impian aku dulu, aku cuma pembantu am yang kadang-kadang akan duduk di kerusi penyambut tetamu kalau Sheila yang sengal tu MC atau EL. Hah ni hari Isnin, aku berani bertaruhlah Sheila tak kan datang ke pejabat, kalau dia mampu heret kakinya pun nanti nampak lah kelibatnya selepas lunch hour. Ada ajelah alasan janda muda tu, tertinggal itu ini kereta tak boleh start, sakit yang macam-macam sakit dari kepala sampailah ke hujung kaki. Cuma aku perasan, sakit atau alasan Sheila hanya pada hari Isnin, hari lain dia memang ok, tak ada masalah.

Jarak pejabat dan rumah aku yang tak berapa jauh ni sebenarnya hanya sepuluh minit perjalanan kalau tak jam, tapi sebab KL ni asalkan pagi aje mesti jam, maka perjalan sepuluh minit tu pun jadi setengah jam. Tak apalah, waktu kerja yang bermula lapan setengah tu masih berbaki tiga puluh minit untuk aku bersedia sebelum memulakan tugas rasmiku. Hahahaha, bunyi macam wakil rakyat je, walau sebenarnya aku sendiri pun tak pasti apa tugas rasmi aku, yang rasminya setiap hari Isnin, aku akan ke bangku receptionist untuk menjawab telefon sementara menunggu kedatangan Sheila.

Sempat aku membancuh kopi o untuk diriku sendiri, cawan yang masih berasap nipis aku bawa ke meja penyambut tetamu. Suis komputer kuhidupkan untuk memulakan kerja. Seawal pagi ni, tak berapa kerat yang dah sampai ke pejabat, penyelia di bahagian pentadbiran Kak Mai pun tak sampai lagi. Begitulah lazimnya, selagi jarum jam tak rapat ke angka lapan setengah, keadaan senyap sunyi sampai bunyi jarum jam pun boleh dengar.

Korang fikir kalau tak ada sesiapa yang membuat panggilan pagi-pagi hari ni apa yang nak dibuat bila dah duduk di meja penyambut tetamu? Berus gigi atau bagi ayam makan adalah jawapan yang boleh diterima sama sekali. Cuba lagi, hehehehe.

Sebenarnya, aku cuma pandang skrin komputer yang sedang bergelut nak hidup ni, mánalah tau kut dengan renungan aku ni komputer ni jadi takut dan dengan pantas menyala dan sedia untuk diguna.. Hahaha.. banyak laa aku punya renungan, tapi aku tetap pandang skrin hitam yang memunculkan tulisan-tulisan yang haram aku tak tau apa maksudnya, tapi aku tetap jugak nak pandang.

Tengah sedap-sedap aku memandang skrin hitam biru ni bunyi telefon bimbit pulak mengganggu konsentrasiku, iskhh sapa punya punya handphone yang bunyi zaman dulu kala ni? Tak sedap langsung. Suara garau yang menyahut panggilan tu buat aku tergamam, ehh siapa yang masuk office ni? Kenapa aku tak perasan?
Betul tetamu tu aku tak perasan bila dia menjejakkan kaki di ruang menunggu ni. Aisey, kalau dibuatnya perompak atau pembunuh bersiri agaknya dah lama aku jadi sayur kangkung rebus, tak pun jadi ayam penyet cili. Tetamu yang masih berbual dalam telefon tu aku pandang takut-takut. Bukan sebab dia nampak macam orang jahat, tak. Sebab dia nampak macam orang penting, segak bergaya dengan sut korporatnya. Ehh.. kalau orang jahat pun boleh jadi juga nampak bergaya macam ni. Hah, mana tau kut ini orang jahat? Tiba-tiba lutut aku jadi menggigil, mak… ampun mak.. Lara tak mau mati lagi. Sambil tangan aku pun terketar-ketar menahan rasa yang buat aku separuh nak tumbang, boleh pulak aku berfikir nak cari senjata untuk selamatkan diri. Yes, senjata untuk selamatkan diri. Perlahan laci sisi meja aku tarik sambil tanganku meraba-raba mencari satu objek yang boleh digukankan.

Tetamu pelik yang membelakangkanku itu masih bercakap melalui telefon bimbitnya, peluang untuk aku bersiap sedia. Ya, aku mesti mempertahankan diri, dalam keadaan seawal pagi begini tak mustahil aku akan menjadi mangsanya dalam masa lima minit lagi. Ahh lima minit mungkin terlalu lama, lagi dua minit bila dia menoleh aje entah pisau atau parang atau mungkin peluru pistol sudah melayang menembusi dadaku, eh mungkin kepala aku sehinggakan nyawaku diragut dalam masa kosong perpuluhan tiga saat. Ehh .. iya ke secepat tu? Bila masa aku nak mengucap?

Aku masih lagi meraba-raba mencari sesuatu di dalam laci, dan dia.. dia sudah mematikan talian telefon dan mula memalingkan badannya menghadap aku, ahh habislah. Sesuatu yang licin aku lurut dengan jari dan . “Aduuhhhh……!!!!!!!!!”

Cepat aku menarik tangan dari laci dan bukan saja tanganku yang menggeletar, terus lembik rasanya lututku nak menampung badan bilamana darah merah memancut keluar macam air sungai mengalir. Aku kalau tengok darah? Entah bila masa mata aku tertutup rapat, Black out.!



“Lara…Lara.. Woii bangunlah, Lara.. bangun janganlah pengsan! Tolong ke tepi sikit, bagi ruang. Lara.. Lara..!” Ehh tu macam suara Sheila, dia buat apa kat sini? Kan hari ni Isnin, Sheila tak masuk office pagi-pagi macam ni.? Aku cuba celikkan mata, kabur sikit tapi memang Sheila, aku cam suara dan kelibat dia walau pun mataku belum berapa nak terbuka. Tak apalah, aku buka juga mataku ni yang tak tau kenapa susah sangat nak celik.

Bila aku berjaya membuka kedua-dua mata dengan lebih jelas terus aku terpandang dia yang rapat disisi kananku.. Oh my..my.. kenapa orang jahat tu ada lagi? Dan aku pulak sedap-sedap landing dalam pangkuan orang jahat tu.. eemmmaaaakk.. Lara nak pengsan lagi. Aku tak ingat apa dah, mata shut down sekali lagi bila tengok muka orang jahat tu. Last yang aku dengar suara Sheila menjerit.. “Lara.. laa kenapa kau pengsan lagi?”
Kali ni rasanya aku pengsan, ye laa aku pengsan. Yahooo... bukan senang nak pengsan sebab pengsan bukan boleh dibuat-buat. Hahaha.. dulu masa sekolah waktu perbarisan ada je budak perempuan pengsan kononnya tak tahan berjemur panas. Tapi aku tak pernah pulak pengsan, dan tak mau pulak pengsan. Oklah, penat dah aku pengsan, sebab rasa macam haus pulak, kering tekak sebab pengsan hehehe.


Terasa sikit berpinar bila aku mencelik kan mata. Macam ni rasanya pengsan..? Tak best langsung! Kalau dalam cerita tu, bangkit aje dari pengsan hero boleh bangun kejar penjahat, lompat bangunan, lintas highway bagai, ni aku nak tegakkan badan pun payah. Aduiii... sakit kelapa aku.. ehh kepala aku.


“ Hah sedar pun, ingat kau dah koma tadi. Celik dua saat lepas tu pejam semula, wooi Lara kau dah kenapa hah..? ” Adoi.. lagi sakit telinga pulak Sheila ni cakap bukan main kuat.

“Otak aku belum boleh nak memproses input yang berat-berat tau, ni suara kau yang lemak berkrim tak disukai ramai membuatkan aku rasa nak pengsan semula.” Aku picit-picit pelipis sendiri, kenapalah dalam ramai-ramai orang Sheila adalah orang pertama yang aku nampak. Kalau nampak Angelina Jolie ke.. Nicole Kidmann ke.. bagus juga, ini balik-balik muka Sheila.. uhh Sheila on Seven pun bukan.


“Amboi, tak disukai ramai kau kata, ehh semalam aku ada new secret admirer tau.. hikhikhik.. tapi aku malas nak cerita sebab otak kau tak berapa betul pagi ni. Baru aku bersemangat nak masuk office hari ni, boleh pulak kau buat aksi pejam-celik-pejam-celik kat depan tu. Kalau iya pun nak tarik perhatian boss besar yang baru masuk tu, tak payahlah sampai nak hiris-hiris jari.”

Boss besar? Hiris jari..? Baru aku teringat tadi aku pengsan sebab tengok darah. Tangan kanan aku angkat tinggi separas muka, betullah tangan aku berbalut!. Teruk sangat ke luka aku sampai dibalut macam mumia ni? Kenapa aku tak rasa sakit langsung? Dan balutan ni, kenapa berbungkus macam patah tangan je?

“Sheila, teruk sangat ke aku luka? Rasa macam tak sakit je? ”
Muka Sheila berubah pucat, alamak.. ahh sudah.. sudah. Ni mesti.. ni mesti.. Tidak. Tidak.. Aku tak sanggup nak hadapi kenyataan. Oh tolonglah, aku masih perlukan jari-jariku.


“ Sheila cakaplah apa yang dah terjadi? Bagitaulah aku walaupun kenyataannya perit.. ohh huhuhuhuhuhu....” Tak dapat aku tahan perasaan lagi, memang ..Memang aku tak boleh terima kenyataan itu. Tapi aku tetap mahukan penjelasan, Sheila katakanlah. Aku sanggup mendengar walaupun pedih, katakanlah walaupun ianya perit. Hilang sakit kepala aku, sekarang aku lebih sakit hati. Sakit hati bila terfikir yang aku dah tak ada jari lagi. Mesti aku dah terpotong jari aku tadi, entah senjata apa yang Sheila simpan dalam laci tu sehingga boleh mencederakan aku dengan begitu parah.
“ Lara. Apa kau meraung ni? Mana ada jari kau kena potong, isskhh mengarut betul. Jari kau tu cuma luka sikit je, tak jadi cacat apa pun.”


“ Be..be. betul ke Sheila? Oh syukurlah, ingat jari-jari aku sudah menjadi busuk lalu dipotng hingga ke pangkal siku!” Aku mengurut dada, fuhh nasib baik jari aku cukup lagi, mesti cukup lima batang jari kan? Kalau tak cukup siaplah Sheila.Eh tapi tadi Sheila nampak sedih sangat kenapa?
“ Sheila, kenapa muka lain je tadi? Aku naik suspend la bila tengok muka kau berubah macam tu.” Betullah, tadi muka Sheila nampak lain, nampak sedih sangat, nampak dia .. nampak dia sedihlah, tu sebab aku risau kut-kut dia ada berita yang tak mampu nak diucapkan oelh kata-kata? Manalah tau kan.
“ Sedihlah, sebab kau buat apa tah kat meja aku, selongkar laci aku, lepas tu entah macam mana engkau boleh terhiris jari sendiri, tak pasal-pasal boss besar tau yang aku simpan pisau dalam laci. Padahal pisau tu kecil je, aku selalu buat potong buah. Alah kau pun selalu juga pinjam pisau aku kalau nak makan buah. Bukan kau aje yang pinjam satu department ni pun pernah pinjam pisau aku masa buat jamuan hari tu. Alih-alih bila kau dah luka sikit, sampai hati boss besar tegur aku. Dia cakap aku tak patut simpan barang yang berbahaya atau objek tajam dalam laci. Sedih aku tau, dah lah aku sejak minggu lepas exicted nak sambut dia pagi ni, ni hari nilah. Awal-awal aku bangun sebab nak sambut boss besar, tapi kau pulak boleh pengsan-pengsan pagi ni”

Ooo.. itu kisahnya. Aku cuba buat muka seposen sambil mulut buat bentuk ‘O’. Harap-harap Sheila boleh kesian tengok muka comel aku ni. Iskkhh.. kira aku dah spoiled rancangan Sheila lah ye?

“ Kalau aku tau dia sampai awal pagi macam kau, subuh-subuh lagi aku dah terpacak kat depan office tau. Tapi sebenarnya hari ni aku tak lambat pun, aku sampai lapan suku. Cuma kau aje yang sampai pukul lapan dan pengsan pada pukul lapan sepuluh minit. Ehh kenapa kau pengsan hah? Kau terkejut tengok boss besar ye?”
Oo.. macam tu ke chronicle of pengsan-pengsan aku..? Hehehe entah aku pun tak tau.

“ Mana ada aku terkejut tengok boss besar, aku terkejut sebab..ermmm ”. Sebab apa aku pengsan tadi hah..? “ Hah, aku pengsan sebab tengok darah.”


Hehehehe.. betullah tu, memang aku terkejut tengok darah pun tadi kan? Itu aku tak tipu, tapi aku tak sanggup laa nak cakap kat Sheila yang aku terkejut campur takut sebab ingat boss besar tu orang jahat. Hurmm. Mampus aku kena gelak dengan Sheila. Sumpah aku tak kan cakap.
“ Sudahlah, tak kan nak lepak kat surau ni sampai balik, Kak Mai bising nanti. Dah lah dia kena cover front desk.” Sheila dah mula angkat punggung. Ehh kat mana aku ni? Oo.. kat surau, patutlah senyap sunyi. Aku pun ikut je la Sheila bangun, tak kan nak tunggu masuk waktu Zohor pulak.



“ Sheila sapa yang balut tangan aku macam ni? ” Tangan yang berbungkus ketat aku suakan ke muka Sheila. Berapa ela kain yang membalut tangan aku ni sampai besar dan berat macam ni. Naik berdenyut rasanya sebab terlalu ketat, patutlah aku pun suspend dibuatnya. Ingat cedera parah sangat, paling tidak lapan inci punya luka sedalam sembilan sentimeter. Ehh, tu dah tahap kena jahit tu.
“ Boss besar tu lah, ingat pandai sangat nak handle sekali macam mumia dia balut. Kalau ikut aku, tak payah tampal plaster pun tak apa. Aku tengok adalah tiga empat orang staff Akaun dengan Development tutup mulut tahan ketawa. Aku pun nak sangat elak, tapi aku kasi chance laa tak gelak depan muka dia sebab dia handsome.”
“ Masa dia balut tangan aku tu, aku buat apa? ” Eh, ni bukan sebab aku amnesia atau apa, tapi aku tak perasan bila masa kena balut tau. Jadi aku berhak tau apa yang dah jadi.
“ Masa kau pengsan tadilah. Lagi nak tanya.” Sheila dah mula melangkah keluar.
Kalau aku pengsan pun dah kena balut sebesar ni, agaknya kalau koma mau orang siap-siap gali lubang kubur untuk aku. Iskkhh.. aku belum mau mati lah. Baik aku masuk office sekarang. Tangan yang berbalut aku angkat sebab nak tengok jam, laaa boss besar balut sekali dengan jam ke ???

Labels: ,


OLD / NEW