|
Jangan Ada Benci 12
Monday, June 20, 2011 | 6:24 AM | 4 star
Dua hari berturut-turut jambangan bunga dengan puluhan kuntuman bunga ros merah tiba ke rumah. Hari pertama kiriman bunga disertakan dengan teddy bear besar, hari kedua pula dengan cokelat di dalam kotak berbentuk hati. Hari ni kalau bunga datang lagi memang Eliza tak boleh nak sabar, apa Shahrul Harriez tu ingat aku boleh dibeli dengan kiriman bunga-bunga ni? Ingat hati aku boleh cair bila dapat bunga-bunga yang banyak ni? Tahulah dia banyak duit, tapi tak payahlah nak menunjuk-nunjuk yang dia tu boleh beli kedai bunga untuk aku. Eliza mendengus geram, jambangan bunga dikuis dengan bantal kecil yang dikepit dari dalam bilik. Nak rehat pun tak senang, buat sakit mata aje memandang bunga-bunga ni. Kalau ikutkan hati usahkan nak memandang, bawa masuk ke rumah pun Eliza tak ingin, memang dah dihumbannya ke dalam tong sampah di depan rumah tu. Tapi sebab dua-dua teman serumah ni perempuan sejati, sehinggakan kertas pembalut dan reben pengikat pun Nurul dan Kak Aisyah kutip, tak mau dibuang. Iskkh geram betul. Pandangannya ke kaca televisyen betul-betul terganggu dengan sejambak bunga ros merah yang kembang cantik menghiasi sisi televisyen itu. Betul-betul menyakitkan mata.! Tengok tu, selagi ada ruang atas almari hiasan tu, berderet-deret gubahan kecil hasil tangan kak Aisyah. Botol mineral besar yang digunting sebagai pasu bunga tu memang hasil tangan Nurul. Sampai lewat malam tadi diorang berdua sanggup bersengkang mata nak menggubah. Eliza betul-betul berbulu biji mata dibuatnya. Ting tong.. ting tong.. loceng pagar rumah berbunyi. Alah siapa pulak ni..? Dengan payah Eliza bangun dan menuju ke pintu rumah tanpa menjenguk siapa tetamunya. Ting tong.. ting tong. Loceng berbunyi lagi. Kejaplah, ingat bawa perut besar ni boleh jalan laju-laju ke.? Eliza membuka sebelah daun pintu rumahnya dan menjenguk keluar. Shahrul Harriez berdiri di depan pagar. Aduh nak apa lagi? Eliza jadi kalut tak menentu, tergopoh-gapah dia cuba menyembunyikan diri di balik pintu. “Assalamualaikum .. Eliza..! Eliza. Abang datang ni..” Shahrul menjerit dari pintu pagar. Ehh dia ni tak kerjakan, pukul sepuluh setengah pagi boleh pulak berdiri depan rumah? “Nak apa..?” Eliza menjerit dari pintu rumah, hanya kepalanya sahaja yang menjenguk di balik pintu. Mana boleh nampak badan, habislah Shahrul Harriez tahu. “Eliza, abang nak jumpa sayang keluarlah.” “Tak mahu.” Eliza membalas. “Ok, macam tu abang masuk ke dalam?” Shahrul Harriez mencuba nasib. Ahh..? Betul le? Gila.! “Jangan, jangan masuk tak ada sesiapa di dalam. Siapa suruh awak datang?” Eliza bersuara garang. Dibuatnya betul-betul Shahrul Harriez masuk memang cari masalah. “Abang nak jumpa sayanglah, cepat keluar kalau tidak abang masuk ke dalam.” Shahrul Harriez menggertak. “Jangan.. jangan... err nanti.. nanti kita jumpa, tapi sekarang tak boleh.” Eliza ligat memikirkan alasan. Aduhai.. tolonglah, aku tak boleh jumpa dia sekarang, Tuhan tolong bukakan pintu hati dia supaya pergi. Shahrul Harriez kehampaan, sudahlah waktu terluang sekembalinya dari mesyuarat di Cheras tadi sanggup dia melencong ke Pandan Indah, padahal pejabatnya di Subang Jaya. Mujurlah jalan tak begitu sesak tapi Eliza pula yang keras hati sangat. Sampai hati dia tak mahu jemput aku masuk, dahlah cakap pun main jerit dari muka pintu aje. ”Ok kita keluar, sayang cakap bila, kat mana?” ”Nanti call ajelah.” Eliza mencari alasan sambil dengan cepat menutup pintu dengan rapat. Celahan langsir di kuak sedikit untuk melihat apakah Shahrul Harriez masih berdiri di depan rumahnya. Seketika terdengar deruman enjin kereta berlalu. Fuhh.. lega. Lima belas minit berlalu, sekali lagi loceng pagar itu berbunyi. Aduh, takkan dia datang balik kut? Eliza kembali mengintip di balik tabir, kali ini budak penghantar bunga yang datang. Arrghh… bunga lagi.! HARI Sabtu yang cerah, Aisyah sudah pun menghidupkan enfin kereta Kancilnya. Persetujuan Eliza malam tadi untuk keluar membeli belah barangan keperluan bayi membuatkan dia dan Nurul tersenyum lebar. Terasa berdebar-debar kerana rancangannya untuk menemukan dua insan yang tak berapa cinta ni. Kalau Eliza tahu ni memang dah dirancang mau dia mengamuk sakan macam dia baling jambangan bunga yang sampai semalam. Dua hari sebelum tu, bunga-bunga dapat diselamatkan, cuma hari ketiga Nurul dan Aisyah tak dapat nak selamatkan nasib bunga tu lagi bila jambangan tu dah duduk dalam longkang. “Nurul, jomlah ikut sekali bukannya kau ada kelas pun hari ni.” Eliza memujuk Nurul supaya ikut serta sambil membetulkan baju yang dipakai. Aisyah yang beria-ia menyuruhnya menyarung cardigan konon nanti sejuk kat shopping complex tu. Tapi elok juga, takdelah nampak sangat perut yang besar ni. “Aku malaslah nak keluar. Hari-hari aku keluar pergi kuliah awal-awal pagi tau, hari ni aku ‘cuti’ dari keluar rumah. Biar aku tinggal, nanti korang balik aku sediakan makan tengah hari.” Nurul menawarkan servis percuma sambil mengenyitkan mata pada Aisyah. “Alah Nurul tak payah masaklah untuk kami, tahulah nanti kita makan di luarkan Eliza?” Aisyah menambahkan perisa lakonan. “Iyalah Eliza, makan aje di luar. Kau tu asyik memerap aje di rumah. Sesekali keluar ni pergilah enjoy sikit. Nanti jangan lupa shopping barang-barang keperluan baby tu, ni ambil kad bank kau.” Nurul menghulurkan kad ATM dan bukunya kepada Eliza. “Lepas ni aku tak mahu dah pegang duit kau, pandai-pandailah belanja sendiri tau.” Kata Nurul sambil tersenyum. Minta-minta Eliza perasanlah yang jumlahnya sudah bertambah, minta-minta Eliza bertanyalah dari mana datangnya duit itu. “Alah, kenapa pulak kau nak bersara ni? Nah simpanlah.” Eliza mengunjukkan kembali buku banknya. “Tak mau, tak mau.. jaga sendiri.” Nurul pantas melarikan diri ke dapur. Eliza dengan muncungnya menyumbatkan buku bank ke dalam beg tangannya yang lusuh itu. Kad ATM diselitkan pada dompet yang juga lusuh itu. “ Jomlah kita gerak sekarang.” Aisyah pantas menamatkan suasana. Eliza dipimpin masuk ke perut kereta dan mereka menuju ke pusat membeli belah seperti yang sudah dijanjikan pada Shahrul Harriez. “PUKUL BERAPA kau janji nak jumpa Eliza ni ?” Adam bertanya pada Shahrul Harriez yang dari tadi tak senang duduk. “Pukul tiga Penang kat Secret Recepi tu” Jawabnya sambil mengerling jam tangan yang baru menunjukkan pukul satu empat puluh lima. “Alah lambat sangat lagi, jomlah makan dulu.” Adam mempelawa dengan harapan Shahrul Harriez akan menemaninya. “Aku tak seleralah Adam, kau pergi ájalah.” Shahrul Harrul Harriez pula menolak. “Iskkh… tak kanlah Eliza tu tak makan-makan lagi kalau nak jumpa pukul tiga, haa nanti dibuatnya kau orang bergaduh ke apa, memang langsung kau tak menjamah apa-apalah jawabnya. Apa kata kau makan minum dulu, bawa bertenang. Lepas makan kita solat Zohor, haa barulah kau tak terasa menunggu pukul tiga tu lama.” Adam yang memahami gelisah di hati kawannya memujuk. “Oklah, kalau pengsan karang cemana pulak aku nak pujuk Eliza ye tak.? “ Shahrul menurut langkah Adam menuju ke kafe yang menyediakan makanan barat. ELIZA berhenti seketika di hadapan butik yang terletak di tingkat tiga pusat membeli belah yang besar itu. Damia World of Fashion memukau pandangannya bila patung yang disaluti baju cantik menghiasi ruang pameran butik itu. ‘Damia .. ehh macam nama aku aje. Hmm.. kan seronok kalau aku ada butik sendiri macam ni, tapi tuan punya ni dah ambil nama aku pulak. Isskkh’ bisik hatinya sendiri. Eliza menghayun langkah memasuki ruang dalam butik tersebut, deretan pakaian berwarna-warni benar-benar menambat perasaanya. Iyalah, dah berbulan-bulan dia tak pedulikan tentang dunia luar. Semenjak berkahwin dan melalui pengalaman pahit itu, segala-galanya bagai terputus hubungan dengan dunia luar. Lihat sájala betapa jakunnya dia membelek deretan pakaian tu. Puas menyelak satu Demi satu baju yang tersangkut, Eliza beralih pula ke deretan pakaian yang tergantung. Aduhai cantiknya dress ungu tu. Potongan yang berbentuk empat segi dibahagian leher dengan ditaburi batu-batu dibahagian dada betul-betul menarik perhatian. Seketika Eliza ditemani oleh jurujual berwajah manis yang dibuat-buat. Tahulah penat tapi pelanggan kena layan juga. “Ya puan, boleh saya bantu. Puan mencari baju untuk majlis apa?” Jurujual itu bertanya dengan endah tak endah. Menilik Eliza dari atas ke bawah,mengukur darjat barang kali. “Haa..? err.. tak . tak cari apa-apa.” Eliza kelam-kabut bila keasyikannya bagai diganggu oleh jurujual tak berapa mesra itu. “Hmm.. dah tau tak berapa berduit tak páyahlah nak masuk-masuk butik, pergi aje shopping kat pasar malam.” Jururual itu bersuara jengkel. “Nora..! What have you done? Patutlah pelanggan tak mahu masuk rupa-rupanya begini cara awak layan pelanggan! Get inside and you’ll see me after this!.” Kedengaran suara perempuan bertempik dari dalam. Eliza jadi terkejut dengan insiden di depannya, Huh memang padan pun jurujual nama Nora tu kena marah. Lagi bagus kalau kena berhenti kerja. Eliza berkira-kira untuk meninggalkan butik mewah itu. “Er.. puan.. tunggu dulu.” Perempuan separuh usia tu memanggil, agaknya dia ni pemilik butik kot. Eliza menelah. Langkah dihentikan seraya dia menoleh kearah wanita itu. Huikk, baru Eliza perasan, bergaya sungguh wanita ni. Nampak macam dah berumur tapi sekali pandang kalau kata umur tiga puluh pun boleh percaya juga. “Maaflah, saya cuma tengok-tengok aje, tak nak beli pun.” Eliza mencipta alasan. Mana kak Aisyah ni, kata nak pergi toilet sekejap, tengok ni dah tak pasal-pasal termasuk ke butik mewah ni. “Tak apalah kalau tengok-tengok pun. Adik ni datang dengan siapa? Dengan suami?” Ramah dia bersuara. Suami? Err.. Eliza telan air liur. “Tak.. saya datang dengan kawan, tapi dia pergi tandas sekejap. Itu yang saya masuk ke dalam butik tadi.” Bagai orang bersalah Eliza berterung terang. “ Nama saya Datin Umi Sarah, ahh panggil Auntie Sarah ajelah. Anak ni siapa namanya?” Wanita yang bernama Datin Umi Sarah itu mula menunjukkan keramahannya. “Eliza.” Jawabnya perlahan. Sengaja tidak mahu memberitahu nama penuhnya. “Eliza, cantik nama tu. Macam nama yang auntie nak bagi pada anak perempuan auntie dulu.” Datin Umi Sarah bersuara agak sayu. “Mana anak datin?” Eliza mula menunjukkan minat untruk bercerita. Wajah mendung wanita itu membuatkan hatinya yang kebelakangan ini keras macam batu menjadi lembut. Iyalah, perempuan mesti cepat tersentuh kalau pasal sedih-sedih ni, pasal Shahrul Harriez saja yang buatkan hati Eliza tak mahu cair lagi. “Dah tak ada, Eliza.” Dia menjawab dengan sayu. “Oh,, maafkan saya datin.” Eliza masih berbahasa, Bimbang juga akan mengguris perasaan wanita itu, sebab dia nampak macam baik aje. Eliza tak tahu kenapa dia boleh lembut hati aje, padahal sebelum ni bukan mudah untuk berbual-bual dengan orang asing. “Ahh.. tak apalah. Ehh.. apa kata Eliza masuk dalam dulu, penat berdiri di luar. Tadi kata tunggu kawan kan.? Mari masuk kita duduk dulu.” Tangan Eliza dipimpin masuk dan Eliza hanya membiarkan wanita itu mambawanya ke ruang dalam yang lebih selesa. Sofa empuk yang menghiasi ruang dalam butik itu sungguh selesa untuk menunggu. “Eliza ni dah mengandung berapa bulan? Nampak macam dah sarat juga, anak keberapa ni?” Datin Umi Sarah berminat untuk ambil tahu. “Tujuh bulan setengah, ini yang pertama datin.” Eliza cuba tersenyum dengan harapan dapat menyembunyikan perasaannya yang berkecamuk bila menyentuh soal anak yang dikandungkan. “Wah.. tak lama lagilah, mesti seronok nak sambut anak pertamakan? Siapa yang pilih nama nanti? Mama atau papa? “ Datin Umi Sarah tersenyum lebar sambil menghulurkan air oren sejuk pada Eliza yang dilayan bagai tetamu istimewa. Eliza cuma menunduk memikirkan jawapan yang sesuai. “Sebenarnya saya dan suami saya sedang berpisah datin.” “Sedang berpisah? Maknanya belum bercerailah tapi berpisah?” Dati Umi Sarah meneka. “Lagi satu jangan panggil Auntie Sarah, tak payah datin-datin. Auntie lebih suka Eliza panggil begitu.” Wanita itu duduk rapat dengan Eliza sambil mengelus-elus rambutnya. Eliza bagai dibuai seketika, layanan Datin Umi Sarah yang mesra tak ubah macam Mak Long. Eliza rindukan sentuhan seorang ibu, Eliza rindu Mak Long. Sebab itulah bila Datin Umi Sarah menyentuhnya Eliza terasa sungguh sayu. Tak disangka-sangka airmatanya menitik. Lekas-lekas dia menyeka air matanya lalu memohon diri untuk berlalu. “Maafkan saya da.. eh auntie. Agaknya kawan saya tengah tunggu saya diluar tu, mesti dia tak perasan yang saya masuk sini.“ Sambil menyeka airmata yang masih bersisa Eliza memohon diri. “ Eliza, auntie suka nak jumpa Eliza lagi. Senang-senang datanglah lagi ya.“ Datin Umi Sarah mempelawa penuh harapan sambil menghulurkan kad perniagaannya. “Kalau Eliza sudi, telefonlah auntie selalu. Auntie teringin nak berbual-bual dengan Eliza lagi.“ “Insya Allah auntie, saya pergi dulu ya.“ Persis seperti anak memohon diri, Eliza mencapai tangan Datin Umi Sarah menyalami dan mencium tangan wanita itu. Datin Umi Sarah terpempan dengan perbuatan Eliza dan tanpa sedar air mata bertakung ditubir mata. ‘Kalaulah Mia masih ada agaknya dia sudah sebesar ini’. Desis hatinya sambil menghantar Eliza dengan pandangan matanya. “Eliza tunggu dulu..” Jerit Datin Umi Sarah. Bagai tidak puas berbual dengan Eliza. Pantas tangannya mencapai sehelai selendang yang terpamer di butiknya. “Ini auntie hadiahkan pada Eliza, jangan lupa datang lagi tau.” Kali ini Datin Umi Sarah membalutkan selendang berwarna kelabu itu ke bahu Eliza, seraya dia memeluk Eliza bagai tak mahu dilepas pergi. Eliza yang terpempan hanya membalas pelukan wanita itu dengan penuh rasa terharu. Selendang yang membalut bahunya dipegang tanda menghargai pemberian wanita yang baik hati itu. AISYAH TERCARI-CARI akan kelibat Eliza, iskh mana pulak mak buyung ni? Sudahlah aku menjinjit beg-beg plastik ni bagai nak putus jari. Tadi sebelum ke tandas dia ada di depan kedai jam, ini ke mana pulak. Melilau Aisyah mencari kelibat Eliza, mujur tak lama selepas itu Eliza sudah memanggil namanya. “Eliza, isskhh ingat dah hilang tadi, akak baru nak panggil pengawal keselamatan.” Aisyah cuba berseloroh, ehh kenapa pulak mata dia basah? Menangis? Alamak.. dia dah terjumpa Shahrul Harriez ke? Habis lah macam ni. “Iskh kak Aisyah ni, dia yang tinggalkan orang. Saya ingat, saya yang nak panggil pengawal keselamatan kut-kutlah kak Aisyah yang cantik molek ni kena culik dek orang.” Eliza pula mengusik sambil menyeka airmata yang bersisa. Aisyah mengurut nafas lega. Nasib belum jumpa Shahrul Harriez lagi, kalau dah jumpa mesti mood dia dah macam pau kena kukus. “Dah hampir pukul satu setengah ni, kita solat dulu sebelum makan nak? Nanti perut dah kenyang malas pulak nak jalan lagi.” “Oklah kak Aisyah, surau pun tak jauh tu.” Eliza membantu Aisyah yang bersusah payah menjinjing beg-beg yang berisi pakaian dan keperluan bayi. Seusai solat Zohor, Aisyah mencadangkan untuk mereka makan di Secret Recipe, mujurlah Eliza tak banyak soal. Dibuatnya dia nak makan burger pulak nanti dah terpaksa tukar plan. Sengaja Aisyah ajak Eliza cepat-cepat masuk dan makan dulu. Janji dengan Shahrul Harriez pukul tiga petang, dibuatnya Eliza mengamuk nanti dah sah-sah tak jadi nak makan. Ligat otaknya berfikir sebarang kemungkinan. Sesekali Aisyah mengerling jam ditangan, dua empat puluh lima. Iskhh kenapa pulak aku yang terlebih berdebar ni. Aisyah cuba menenangkan perasaan, bimbang lakonan tak menjadi. Eliza yang baru sudah menghabiskan stew nya tersandar kekenyangan. “Sedap juga makan kat sini ya kak Aisyah?” Eliza tersenyum puas hati. “Lepas ni kita jalan lagi nak?” Aisyah mula memancing minat Eliza, nampak macam mood baik aje. “Ok juga, tapi macam mana nak angkut beg-beg yang banyak ni, kesian kak Aisyah nak bawa semua.?” “Ohh.. macam tu, apa kata Eliza tunggu dulu kat sini? Akak pegi hantar barang-barang ni kat kereta, senanglah kita nak sambung jalan nanti.” Aisyah konon-konon buat rancangan. Sebenarnya, takut juga bila Shahrul Harriez sampai nanti nampak pula barang-barang bayi, lain pulak cerita. Aisyah bangun meninggalkan Eliza di kedai makan itu, Shahrul Harriez mana kau the drama is now over to you. Aisyah tersenyum sendiri menjinjit beg-beg yang sarat ditangannya. SHAHRUL HARRIEZ melajukan langkahnya ke tingkat satu pasaraya besar itu, tepat pukul tiga petang jam di tangan menunjukkan waktu. Terpandangkan papan tanda restoran francais itu pun dah buat Shahrul Harriez senyum lebar. Nak jumpa Elizalah katakan. Dari jauh ternampak Eliza yang tunduk menyedut minuman seorang diri. Shahrul Harriez tersengeh lagi. Tanpa dipelawa Shahrul Harriez terus menarik kerusi dan duduk di hadapan Eliza. Terkejut bukan kepalang Eliza bila yang tersergam di hadapannya ialah Shahrul Harriez. Mana kak Aisyah? Mujur tak tersembut aur yang baru disedut, tapi tersedak kecil jugalah dibuatnya. Pantas Eliza membetulkan bajunya. Mujur juga Datin Umi Sarah tadi menghadiahkannya sehelai selendang panjang. Segera dia membetulkan pakaian dan seboleh-bolehnya mahu menutup perutnya yang besar. Ya Tuhan, nak bangun dan lari pun tak boleh, dah tentu Shahrul Harriez akan nampak perut yang tak boleh nak sorok lagi ni. Dalam kelam kabut cuba menutup tubuhnya, Eliza langsung tak ingat nak memarahi lelaki di hadapannya. Eliza lebih bimbang kalau-kalau Shahrul Harriez bertanyakan soal kandungan itu. Mujur sewaktu Shahrul Harriez sampai dia leka menyedut minuman sambil membongkokkan badannya. Harap-harap Shahrul Harriez tak perasan.! “Sayang, sudah habis makan ke?” Shahrul Harriez tersenyum sampai telinga. Dapat duduk semeja dengan Eliza buat dia rasa tak senang duduk, serba gelisah dek terlampau seronok. Isteri pujaan hati di depan mata. Eliza yang masih gugup jadi tak tentu hala, fikirannya lebih tertumpu untuk menyembunyikan tubuhnya dari penglihatan Shahrul Harriez. Soalan dari suaminya tidak dijawab, jarinya kejap memegang hujung selendang melindungi perut yang besar macam belon itu. Mujurlah dia bertubuh kecil, jadi perubahan saiznya badannya tidak begitu ketara, hanya perutnya sahaja sejak akhir-akhir ini membesar bagai dibubuh baja. “Apa buat di sini? Pergilah jangan kacau.” Marah Eliza, lagaknya macam menghalau orang gila, tapi sebenarnya Eliza yang tak tentu hala. “Abang ternampak sayang tengah duduk sorang-sorang, apa lagi abang pun datanglah. Nak harapkan sayang jumpa abang tak adalah. Kita datang rumah pun orang tu cuma jenguk balik pintu aje.” Rajuk bunyi suaranya. Eliza yang mula berang menahan rasa marah yang meluap-luap. Bergetar kedua belah tangannya menahan marah. Kalau tidak kerana mahu melindungi perutnya dari pandangan Shahrul Harriez memang Eliza dah lama angkat kaki. Shahrul Harriez dengan selamba menarik gelas minuman yang masih berisi separuh air epal itu. Tanpa dipelawa, selamba dia menyedutnya. Eliza ketap gigi menahan geram. “Sayang buat apa tadi? Shopping ke? Tak nampak beg pun? Apa kata lepas ni jalan-jalan dengan abang? Dah lama abang tak dekat dengan sayang. Abang rindu tau.” Shahrul Harriez buat-buat suara gatal, bukan Eliza nak tergoda, buat dia rasa nak muntah adalah.“ Ke sayang dah puas jalan? Jomlah kita balik rumah nak?“ Lagi Shahrul Harriez terus menggoda. Eliza rasa nak simbah lebihan air minum ni ke muka Shahrul Harriez, baki air batu yang sejuk tu mungkin boleh sedarkan dia dari merapu-rapu macam orang mabuk. Susah betul kalau berdepan dengan orang yang tak peduli kiri kanan ni. Mujurlah aku kena pegang selendang ni, kalau tidak memang sah mangkuk sup labu ni dah terlangkup atas kepala. Shahrul Harriez buat-buat tak perasan dengan muka Eliza yang merah macam cili giling. Lagi dia seronok nak mengusik adalah, alah kat depan orang ramai ni , takkan Eliza nak terkam dia pulak kut, kalau Eliza terkam pun apa salahnya. Lagi bagus, Shahrul Harriez lagi suka. “Eh awak, jangan cakap macam orang mabuk boleh tak?” Soal Eliza sambil mengetap bibir menahan marah. “Laa sayang tahu ke abang mabuk?” Soal Shahrul Harriez seperti orang bingung. Eliza bertambah berang dibuatnya, dah tau awak tu mabuk ada hati nak dekat dengan orang, patutlah cakap macam orang tak cukup akal. “Memanglah abang tengah mabuk sekarang ni, mabuk rindu kat sayanglah. Sayang tak sikit pun teringat kat abang ke?” Shahrul Harriez bagai mencuba nasib. “Rindu? Teringat kat awak? Sorry, salah orang kut. Encik Shahrul Harriez, kalau rasa awak tu tak cukup makan ubat lebih baik awak balik sekarang sebelum semua perempuan kat sini awak goda. Saya tak lalu nak tengok drama mengayat awak tu. Loya tekak saya dengar tau tak?” Separuh menjerit Eliza menahan suaranya. Ikutkan hati memang mahu dia memekik biar semua orang dengar, biar sekuriti datang tangkap orang gila ni bawak pegi. Shahrul Harriez menarik nafas panjang. “Eliza, abang tak main-main, memang abang rindukan sayang dan abang menyesal sangat-sangat dengan apa yang jadi dulu. Abang minta maaf sangat-sangat sebab tinggalkan sayang. Abang sungguh-sungguh menyesal.” Tak jemu-jemu Shahrul Harriez mahu meyakinkan kekesalannya. Sudah berbakul kata maaf, sayang, rindu. Cinta apatah lagi. Kiriman kad ucapan yang disertakan bersama jambangan-jambangan bunga tu buat Eliza rasa nak korek segala isi perutnya. Kad ucapan yang hampir selebar meja makan yang sampai ke rumah tempoh hari sarat dengan ucapan cinta tulisan Shahrul Harriez sendiri. Macam mana Eliza tak lemas dibuatnya. Ini bila dah jumpa depan mata, boleh pulak Shahrul Harriez ulang perkataan yang sama? “Awak, sebelum saya menjerit panggil sekuriti lebih baik awak pergi dari sini. Saya tak hingin tengok muka awak tu tau. Lagi satu, tolong jangan hantar lagi bunga atau hadiah ke rumah. Tak payah nak membazir duit, kalau rasa dah banyak sangat pun tak usahlah nak dibuang begitu saja. Sebab semua bunga awak tu saya buang masuk tong sampah.” Keras Eliza bersuara. “Sayang, benci betul kat abang?” Shahrul Harriez buat muka sedih. Dah tau lagi mau tanya. “Ya! Benci sangat-sangat. Mudah aje awak ucap sayang, semudah itu juga awak tinggalkan sayakan? Dulu bolehlah awak tipu saya sebab saya bodoh sangat percayakan cakap awak yang manis dari gula tu. Konon sayang, berapa lama sayang awak bertahan masa tu? Dua hari. Dua hari aje kan? Dalam masa dua hari tu berapa bakul ucapan sayang awak? Bukan main pandai awak berlakon. Mula-mula saya jumpa awak, awak kata tak mahu bertunang. Alih-alih pulak awak setuju bila kita nikah terus. Dua hari lepas tu apa yang dah jadi ? Awak tinggalkan saya ! ” bertambah keras Eliza bersuara. Shahrul Harriez tertunduk lemah. “Memang abang akui semua tu sayang, dulu abang tak fikir panjang lalu abang tinggalkan sayang. Memang pendirian abang berubah-ubah dari awal kita jumpa sampailah kita bernikah. Sayang tahu tak kenapa tiba-tiba abang kata setuju untuk terus nikah pada mummy selepas kali pertama abang jumpa sayang? Abang jatuh cinta pandang pertama tau. Kali pertama nak jumpa sayang abang plan nak bagi sayang benci pada abang, bila kita jumpa lagi kat rumah Mak Tok pun abang rasa nak buat sayang benci pada abang. Tapi sebenarnya abang dah jatuh cinta pada sayang. Lepas tu abang tekad, abang nak sayang pun sayangkan abang macam mana abang sudah jatuh hati pada sayang. Sayang ingat tak masa kita sama-sama pergi kursus perkahwinan dulu? Masa tu abang nak sangat bagi tahu sayang yang abang dah jatuh cinta pada tunang abang masa tu. Yelah kita tak bercinta sebelum kahwin, bila nak bernikah perasaan abang sungguh-sungguh melimpah ruah pada isteri abang ni tau.” Shahrul Harriez berkata penuh yakin, Eliza bagai terpegun mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Shahrul Harriez. Bagai mahu menitik airmatanya mendengar luahan Shahrul Harriez. Marah yang membara bagai disiram air batu, entah tak tahu. Apakah ais dikutub utara dan selatan mahu cair? Labels: Jangan Ada Benci |