![]() ![]() ![]() ![]() |
Jangan Ada Benci 19
Wednesday, July 27, 2011 | 2:24 AM | 18 star
Mak Long mengesat pelupuk matanya yang berair, dah tua-tua begini memang cepat benar perasaannya terusik. Teringatkan segala perbuatannya yang lampau betul-betul buat Mak Long rasa sungguh bersalah. Kehilangan Eliza selama hampir setahun buat Mak Long jadi cepat aje nak bersedih, asal nama Eliza yang disebut mesti dia nak mengalirkan airmata. “Kamu janganlah nak salahkan diri kamu sangat Hasnah, budak tu pergi bukan sebab kamu halau atau kamu marah. Dah dia merajuk dengan si Harriez tu, bukan kamu yang suruh dia merajuk pun.” “Memanglah saya tak halau dia Mak Engku, tapi saya juga yang bodoh setuju dengan Faridah nak kawinkan dia, dah tentunya kawin paksa dia tak suka.” Mak Long menjawab dalam sedu sedan. “Mana kamu tahu dia tak suka? Aku tengok cucu aku Harriez tu senyum aje sepanjang majlis kahwin ari tu? Tak nampak pula gaya orang tak mau kawin. Eliza pun nampak elok aje kan. Tapi yang aku dengar si Faridah tu buat kacau lepas diorang kahwin.” Mak Tok membetul-betulkan selendang yang tersangkut dikepala. Tua-tua pun Mak Tok tetap boleh beza orang kahwin suka dengan tak suka. Sepatutnya perkiaraannya memang tak silap, Mak Tok pasti sangat Harriez dan Eliza tu pun suka sama suka, sama sepadan macam pinang kena kapak. “Tapi saya ada masa tu, saya tak buat apa-apa pun bila Harriez pergi tinggalkan Eliza. Dah tu Eliza pergi pun saya boleh tak perasan bila hilangnya. Emak apa saya ni Mak Engku?” Tambah kuat Mak Long punya lagu sedih, iskhh Mak Long ni memang ratu air mata sungguh. “Sekurang-kurangnya Harriez ada juga hubungi kamukan?” Mak Long cuma menganggukkan kepala. “ Aku ni hah, neneknya sendiri pun si Harriez haram tak peduli. Dia dah marahkan emaknya, sampai aku ni pun tak diherankannya lagi.” Mak Tok pula bersuara bagai berjauh hati. “Dia cari saya pun sebab Eliza je Mak Engku.” “Hmm.. dah macam tu takkan tak nampak lagi macam mana si Harriez tu suka kat Eliza?” Mak Tok masih membela cucunya itu. Apa dia ingat Eliza seorang sajalah yang salah sekarang ni? Mak Long mengangkat muka memandang Mak Tok, kalau orang tu ni fikir aku yang jadi punca, memang nak kenalah. Tak kiralah tua ke apa pun. Mak Long berfikir sendiri, tapi Mak Tok takde pulak nampak macam nak menyalahkan Eliza ataupun dirinya. “Hasnah, kalau Harriez ada hubungi kamu lagi cakaplah pada dia yang aku minta maaf. Bagi taulah dia yang aku sendiri nak jumpa dia, kalau dia tak mahu pijak rumah aku lagi, biar aku aje yang pergi jumpa dia. Ada perkara penting yang aku nak dia tahu.” Mak Tok pula mengesat airmata yang mula menitik. “Mak Engku, kalau Harriez hubungi saya lagi, saya mesti suruh dia jumpa Mak Engku juga. Saya janji.” Mak Long memberi harapan pada Mak Tok, tak sampai hati pula bila tengok warga tua bersedih. “Aku rasa bersalah pada mereka Hasnah.” “Kita sama-sama salah pada Harriez dan Eliza Mak Engku.” “Bukan pada mereka berdua aje Hasnah, aku tetap rasa bersalah pada Sarah adik kamu juga.” Mak Long tersentak bila nama adiknya pula disebut. Mata yang berkaca kembali lemas dek airmata yang turun macam empangan pecah. Bahu Mak Tok yang terhinjut-hinjut dek tangisan yang dah lama berlagu dipeluk penuh sayu. “Mak Engku, saya pun rasa bersalah pada Sarah.” Dua-dua dah menangis sepenuh perasaan bila nama Shahrul Harriez dan Eliza disebut, tambah pilu bila terkenang pula pada Umi Sarah. AISYAH MENYUSUN PAKAIAN yang hendak dibawa pulang ke kampung ke dalam beg kecil. Tak payah nak bawa banyak-banyak pun, kat rumah mak ada banyak pakaian, kalau tak bawa pun tak apa. Sedang asyik mengisi muatan ke dalam beg, telefonnya berlagu selawat ke atas nabi. Cepat Aisyah menekan butang hijau bila pemanggilnya adalah Adam. Salam yang diberi disambut dengan mesra. Lupa dah nak kemas baju. Nurul yang sudah siap berkemas menjenguk ke dalam bilik Aisyah. Pelik betul bila melihat kelakuan cikgu Aisyah yang bercakap perlahan dalam telefon. Biasa kalau Mak Cik Tijah yang call bukan main lagi kuat suara. Kalau Eliza pun yang call kak Aisyah cakap pakai vplume nombot lima juga. Ni slow semacam aje, mesti lelaki. Nurul meneka sendiri. Nurul duduk di atas katil sambil mengadap Aisyah yang masih asyik berbisik. Kain batik yang dipegang dari tadi tak masuk juga ke dalam beg, hujung kain itu pula yang dipintal-pintal. Ini mesti cakap dengan boyfriend ni, kut tak takkan boleh hanyut sampai tak sedar aku duduk depan dia pun. Huh jiwang karatlah tu, sampai kawan kat depan pun tak perasan. Nak kena ni. Aisyah mematikan talian sesudah membiarkan Nurul duduk di hadapannya selama lebih sepuluh minit. Padan muka duduk seorang, siapa suruh kacau orang tengah bergayut. “Ehem.. ehem… tak nak cerita ke?” Nurul dah mula nak jadi Cik Sri Siantan. “Cerita apa? Tak ada apa-apalah” Aisyah pura-pura tak faham. Kain batik yang sudah terburai lipatannya disumbat terus ke dalam beg. Tak ada perasaan dah, biasanya Aisyahlah yang paling teliti. “Ala, nak sorok-sorok pulak, Adam kan? Bila nak kenalkan kat Nurul?” ”Hussh, mana boleh kenalkan kat Nurul, nanti abang Adam tak mahu pandang akak dah , terus je sangkut kat Nurul pulak.” Aisyah menjeling sambil melarikan pandangannya dari Nurul. Pipinya yang merona merah tu cuba disorokkan dari pandangan Nurul. “Sebab tulah akak kena kenalkan orang dengan Adam tu, manalah tau kut-kut orang ter’tackle’ dia pulak nanti. Haa sapa yang rugi?” Sengaja Nurul menduga begitu. “Hmm.. kalau dia nak sangkut dengan Nurul pun, akak redha aje. Dah tak de rezeki, lagi pun kalau dia betul-betul serius datanglah sepuluh Nurul pun, patutnya dia tak tergoda tau.” “Waaa... ni betul-betul serius. Hahahahha, tahniah kak Aisyah. Hihihi tak lama lagi dapat lah Nurul merasa nasi minyak kat Melaka ye?” “Apa Nurul ni? Mana ada cerita nak makan nasi minyak pulak. Iskkkh budak ni, kami baru kawan-kawanlah tak ada cerita sampai ke situ lagi. Nak sangat rasa nasi minyak, hah karang kita singgah kedai makan dulu nasi minyak puas-puas.” Aisyah masih malu-malu. “Ehh, Nurul tau tak sekarang ni Harriez kat Australia, bapak dia sakit kat sana.” “Iya? Manalah Nurul tau, sejak bila pula dia ke sana? Patutlah tak ada orang hantar bunga ke rumah kita ni lagi, Mat Bunga dah ke Australia. Eliza tau ke? ”. Nurul bertanya penuh minat. “ Haa nilah akak nak cerita ni, Adam kata Shahrul nak datang ambil Eliza balik ke rumah diorang, alih-alih dapat berita dari abang dia yang tinggal kat Perth tu yang bapak dia kena serangan angin ahmar. Ehh akak pun naik confuse laa dengan nama Mat Bunga tu, Adam panggil dia Shahrul korang pulak panggil dia Harriez”. Aisyah menggaru kepala sendiri. “Biarlah nama apa pun, dah nama panjang berjela sapa suruh. Eh tadi akak kata Harriez nak ambil Eliza? Suka-suka aje nak angkut tebuan tanah tu? Hahahaha rugi pulak sebab kita dah hantar Eliza balik kampung, tak taulah macam mana jadinya kalau betul-betul jadikan kak Aisyah?”. “Itulah, kalau ikut cerita Adam, memang takde rezeki diorang nak berbaik hari tu, tak sangka pulak bapak dia tiba-tiba sakit. Tapi bagi akaklah, cerita yang ni lagi best.” “Apa?” Nurul semakin tak sabar, kak Aisyah ni saja pulak sibuk nak berkemas bagai, cerita tu jangan tergantung. “Adam kata, hubungan Eliza dengan Harriez tu baik. Diorang dah selalu calling-calling, Harriez siap belikan Eliza handphone baru lagi tau.” Aisyah rancak bercerita dengan senyum meleret. “Hah..? Betul ke? Kenapa kita tak tau?” Nurul bukan setakat menjerit, tapi siap melompat di atas katil, buruk perangai betul. “Itulah, akak macam tak percata aje, tapi tak kan abang Adam nak bohong pulak, diorang tukan best friend.” “Apa lagi yang Adam cerita?” “Tak ada apa dah, alah orang lelaki bukan tau bergossip macam kita, ehehe lagi pun akak seganlah nak tanya lebih-lebih, kang dia kata akak ni kaki kepochi lah pulak. Jatuh saham I..” Aisyah buat muka ala-ala sotong kena rebus tu. “Hahaha.. lawaklah kak Aisyah ni, dengan orang bukan main lagi kepochi nya, tapi bila cakap dengan Adam bukan main lagi kawalan keayuannya, main bisik-bisik pulak tu.” Nurul tak lepaskan peluang mengusik. Aisyah menerkam hendak mencubit Nurul, tapi Nurul dengan pantas dah lari keliling bilik. “Aiiyooo kak Aisyah Nurul tak mau main kejar-kejar, tolongg. Elizaaa..!!” ELIZA TERSEDAK KETIKA meneguk air halia buatan Mak Cik Tijah. Uweekkk, tak sedapnya kenapa tak rasa macam air Ribena ke? Berkerut-kerut muka menahan rasa halia yang pedas tu. Mak Cik Tijah yang macam pengawal penjara tetap menunggu depan Eliza, memastikan Eliza tak sembur air halia ni keluar. “Pelan-pelanlah teguk air tu, tak payah nak tergopoh-gapah. Banyak lagi air halia kat dapur tu, tak payah kamu nak minum dengan gelojoh.” Apa? Ada banyak lagi kat dapur? Alahai Mak Cik Tijah, Eliza tak sanggup nak teguk dah. Sejak semalam kena paksa minum air halia, buang angin kata Mak Cik Tijah. Sudahnya sambil tidur pun Eliza terbuang angin jugak. Nasib tak de orang lain, baby Edy pun tak heran dengar bunyi yang menggelodak keluar. Tapi hari ni kalau kena minum lagi malulah, Auntie Sarah ada ni, karang semua orang dengar Eliza kentut.! “Mak Cik Tijah, dah banyaklah saya minum dari semalam asyik terbuang angin aje.” Eliza mengadu. “Hah, dah memang itu pun tujuannya, untuk buang angin. Kamu tak usah nak malulah, buang angin aje, bukan keluar bom pun.” Selamba Mak Cik Tijah menjawab sambil membawa gelas kosong ke dapur. Datin Umi Sarah hanya ketawa terkekeh-kekeh melihat Eliza yang bermuka herot mengajuk cakap Mak Cik Tijah. “Eliza, masa pantang ni lah nak minum ubat-ubatan kampung, lepas ni tak adanya Eliza saja-saja nak minum air halia tu.” Datin Umi Sarah memujuk dengan tawa yang masih bersisa. “Auntie tau tak macam rasanya? Eiii.. pedas sungguh, dah tu asyik terbuang angin je, semalam iyalah saya seorang diri aje baring kat depan ni, habis sekarang kalau depan Auntie pun Eliza asyik terbuang angin aje macam mana? Malulah..” Eliza memuncungkan mulutnya. Eiii kentut depan orang malu tau, dah lah kalau nak keluar tu tak bolah nak tahan-tahan. “Alah, setakat terbuang angin apa sangatlah. Bukan meletup pun.” Datin Umi Sarah masih mahu mengusik. “Eliza, janganlah nak malu-malu pulak, auntie dah anggap Eliza macam anak auntie sendiri. Nak terbuang angin ke apa ke, sekurang-kurangnya dapat juga auntie ada rasa macam menjaga anak sendiri yang dalam pantang. Ni tengok Edy ni, auntie bayangkan dia ni betul-betul cucu auntie tau.” Edy yang baru membuka mata itu menggeliat bila tidur lenanya diganggu oleh Datin Umi Sarah. Elok pula tak melalak, biasa kalau celik mata aje mesti mulut pun terbuka juga. “Err auntie, kalau Eliza tanya sikit pasal auntie boleh tak?” Takut-takut pula nak tanya hal peribadi Datin Umi Sarah ni, yalah dia memang nampak ramah dan mesra tapi hal-hal terlindung ni bukan suka-suka boleh tanya sesedap rasa. “Eliza, tanya ajelah apa pun kamu nak tahu, auntie tak kisah.” Datin Umi Sarah menjawab sambil membuka pakaian Edy untuk diganti. “Eliza sayang auntie macam emak sendiri, yalah Elizakan tak pernah jumpa emak kandung. Dulu Mak Long yang besarkan Eliza.” Datin Umi Sarah tersentak, dalam banyak-banyak perkara yang ditanya pada Eliza dia lupa untuk membuka mulut tentang siapa penjaga Eliza selama ini, yang selalu menjadi topik perbualannya hanyalah berkisar tentang kandungannya dan perihal semasa. “Auntie, siapa lagi ahli keluarga auntie? Maksuh Eliza, siapa suami auntie dan anak-anak auntie?” Eliza memberanikan diri bersuara. Helaan nafas panjang dan Datin Umi Sarah mengambil sedikit masa untuk menjawab. Disudahkannya kerja menukar lampin Edy dan diletakkan kembali bayi yang sudah pun meguap luas dan menutup mata itu. Pipi comel Edy dikucup penuh kasih sayang. “Suami auntie dah meninggal tiga tahun lepas kerana kanser hati.” Sedih Datin Umi Sarah bersuara. “Oh, maafkan saya auntie. Tak apalah kalau auntie tak mau cerita.” Cepat Eliza memegang tangan Datin Umi Sarah, risau juga kalau soalannya membuatkan wanita yang disanjunginya itu tersentuh. “Tak apa sayang, elok juga auntie luahkan perasaan rindu auntie pada dia. Dulu arwah seorang doktor psikiatrik, dia yang merawat auntie sewaktu auntie sakit..........” Datin Umi Sarah melanjutkan ceritanya. “KAK LONG, SAMPAI hati kak long buat Sarah macam ni? Sarah tak gila kak long Sarah masih waras. Kak Long jangan tinggalkan Sarah kat sini. Kak Longggg....”. Jeritan Umi Sarah bergema disegenap penjuru bilik. Empat orang jururawat memaut erat kaki dan tangannya membuatkan dia tidak mampu bergerak. Pantas seorang lagi jururawat mengetatkan ikatan yang membelenggu pegerakkannya. Doktor Azlan membenamkan jarum berisi cairan membuatkan Umi Sarah terus lemah. Hasnah mengesat airmatanya sambil memangku bayi kecil yang baru berusia dua hari itu. ‘Maafkan kakak dik, keadaan yang memaksa supaya Sarah di sini.’ Hasnah berlalu membawa pergi bayi itu keluar dari bilik. Umi Sarah memandang sayu melihat kakaknya berlalu pergi. ‘Kenapa kak long tinggalkan Sarah di sini?’ Rintihnya terus. ‘Kak Long, itu anak Sarah kan, bagilah Sarah pegang dia. Kak Long, Sarah tak sengaja, Sarah tak sengaja. Sarah... Sarah bukan nak apa-apakan bayi tu, dia tetap anak Sarah. Mia.. Mia..ibu sayang Mia, Ibu tak berniat nak cederakan Mia.’ Mata Umi Sarah semakin berat dan pandangannya semakin kabur bersama hilangnya kak long Hasnah yang membawa Mia bayi kecilnya. Enam bulan berlalu... “Sarah apa khabar hari ni? Makan ubat yang saya suruh tu tak?” Doktor Azlan menyapa penuh lembut. Lembaran kertas dicoret pantas dengan nota yang hanya dia memahaminya. Umi Sarah hanya mengangguk sedikit, malas mahu melayan doktor itu. Fikirannya lebih tertumpu pada ingatan lain. Ahmad Danial! Suami yang meninggalkannya sejurus selepas dia melahirkan bayi mereka. Bukan setakat dia ditinggalkan dalam keadaan tidak berdaya, Ahmad Danial sudah melafazkan cerai talak tiga khas untuknya yang selama ini mencuba pelbagai cara untuk mempertahankan ikatan perkahwinan mereka. Ternyata Ahmad Danial lebih percayakan Engku Faridah kekasih lamanya itu, dan sudahnya tohmahan yang dilemparkan kepadanya dipercayai seratus peratus oleh lelaki dayus itu. Doktor Azlan masih mencatatkan pelbagai nota ringkas di atas kertasnya. Umi Sarah malas mahu memperdulikan doktor yang terlebih rajin melawatnya itu. Fikirannya masih penuh dengan kata-kata cercaan dari Ahmad Danial. Sangkanya, menerima Ahmad Danial adalah sesuatu yang terindah berlaku dalam hidup, rupa-rupanya lelaki pengecut itu lebih mudah terpedaya dari yang disangkanya. Mencintai Ahmad Danial, kekasih lama Engku Faridah adalah sesuatu yang amat bodoh yang pernah dilakukannya. Engku Faridah yang tamak itu memang sungguh tidak berhati perut. Berkasih dengan Ahmad Danial tetapi memilih orang lain sebagai suami dek kerana pangkat dan harta. Entah apa makna cinta pada Engku Faridah, Umi Sarah pun tidak tahu. Ahmad Danial yang kecewa terus menanti Engku Faridah yang sudah pun mengandungkan anak ketiganya, bodoh sungguh lelaki itu. Menanti pada yang sudah berpunya. Tapi aku lagi bodoh kerana mencintai lelaki yang terang-terang mengakui dia tidak dapat melupakan Engku Faridah tak berguna tu. Kerana kekhilafan, atau kerana butanya cintaku pada Ahmad Danial, aku terima lamaran dari Mak Tok yang juga sayangkan Ahmad Danial seperti anaknya sendiri. Sesudah Engku Faridah tiba-tiba mahu berkahwin dengan Engku Mukhzani, Mak Tok pula menjodohkan aku dengan Ahmad Danial senagi galang ganti. “Sarah, apa kata petang ni saya bawa Sarah ambil angin di luar?” Tiba-tiba Doktor Azlan mematikan lamunanku. “Tak apalah, saya lebih suka di sini.” Aku malas nak memandang mukanya. Wahai doktor yang baik hati, tak perlulah nak melayan aku lebih dari yang secukupnya. Aku bukan tak tahu tugas doktor untuk merawat pesakit, tapi membawa keluar bersiar-siar itu memang dah bukan tugas dia lagi. Doktor Azlan yang tersenyum itu tiba-tiba mencempung dan meletakkan aku di atas kerusi roda, dan begitulah hari-hari seterusnya Doktor Azlan tak jemu-jemu memujuk perasaanku walaupun perhatian yang diberikannya lebih dari pesakit-pesakit yang lain. “SARAH DAH PULIH sepenuhnya, saya percaya sekarang Sarah lebih kuat dan tenang dari dulu.” Doktor Azlan memulakan bicaranya dengan wajah yang manis. Aku cuma mengangguk perlahan. Betul kata Doktor Azlan, aku memang sudah dapat menahan perasaan sedihku, untuk apa aku ingat lagi perihal Ahmad Danial yang menyakitkan hati itu? “Lepas ni Sarah akan balik ke kampung ke?” tepat anak mata Doktor Azlan memandangku. Aku tak ada jawapan untuk itu. Balik ke kampung bermakna aku akan kembali kepada kenangan hitam itu. Berjumpa mak tok, kak long atau Engku Faridah, semuanya akan menyakitkan hati aku. “Hmm.. rasanya saya akan menumpang di rumah saudara aje di sini.” Kataku berbohong. “Oh.. saya ingat Sarah cuma ada kakak sahaja, sebab tak pernah pula ada mana-mana pelawat yang datang.” Doktor Azlan bukan bodoh untuk ditipu sembarangan. Senyuman sinisnya jelas menunjukkan yang dia tak percaya dengan kata-kataku. “Sa..saya nak cari kerja di sini doktor.” Tergagap-gagap aku cuba mereka cerita. Pandangan tajam Doktor Azlan buat aku gugup. “Sarah, kalau Sarah tak ada tempat nak dituju, lebih baik Sarah berterus terang. Saya tak mahu Sarah pergi ke tempat yang tak tentu hala tuju.” Serius wajah Umi Sarah dipandang. Sarah tak dapatkah kau faham perasaanku, Doktor Azlan merintih sendiri. “ Okey, memang saya tak ada tempat nak dituju, tapi untuk balik ke kampung jumpa mereka semua tu, saya tak mahu doktor. Saya lebih sanggup hidup seorang diri, lebih sanggup merempat di kaki lima.” Airmata tak dapat ditahan lagi. Umi Sarah menangis semahu-mahunya. Doktor Azlan bangun dari kerusi empuknya dah memegang bahu Umi Sarah yang terhinjut-hinjut menahan tangis. “Sarah, dengar sini. Nanti pukul lima setengah saya habis kerja, Sarah ikut saya balik.” “CUP. CUP.. CUP. Auntie.. auntie.. kejap..kejap. Sebelum auntie sambung cerita sedih ni Eliza nak tanya auntie dulu. Err.. siapa nama suami auntie tu Ahmad Danial? Eliza terlupa yang dia baru berpantang seminggu, rasa nak melompat bangun, tapi dek kerana bengkung yang letat melilit separuh badan buat pergerakkannya jadi terbatas. “Iya, Ahmad Danial bin Mustaffa.” Datin Umi Sarah menjawab sambil mengesat airmata yang turut mengalir. Sudah lama tidak menyebut nama itu, dan memang dia sudah padam sampai tak tinggal bekas nama yang membuat hidupnya Eliza menekup mulutnya sendiri. “Kakak auntie tu pulak nama apa?” “Kak Long tu nama Hasnah. Hasnah binti Jamaluddin. Auntie pula Umi Sarah binti Jamaluddin. Kenapa?” Datin Umi Sarah mula kehairanan bila Eliza dah seperti nak menjerit, siap mata terbelik besar lagi. “Aun..auntie.. ni siapa sebenarnya?” Tergagap-gagap Eliza menuturkan kata-katanya. Entah kenapa suaranya bagai tersekat dikerongkong, juraian airmatanya membayangkan kejutan yang amat sangat. Eliza mencapai dompetnya, kad pengenalannya dihulurkan lepada Datin Umi Sarah. Datin Umi Sarah menyambar dengan penuh rasa berdebar. Matanya yang kabur dek airmata digosok berkali-kali. Tak percaya dengan nama yang tertera. Eliza Damia binti Ahmad Danial. Eliza anak Danial eh anak aku? “Miaaaaaaaa…. Mia anak ibu.” Raungnya sekuat hati sambil memeluk Eliza yang tersedu-sedu. Datin Umi Sarah bagaikan lupa diri bila mengetahui Eliza adalah anaknya yang selama ini bagai dilupakan. Baby Edy yang terkejut dengan jerit pekik kedua-dua beranak itu turut menjerit kerena terkejut. Mak Cik Tijah yang dari tadi di dagur juga turuta menerpa naik ke ruang atas bila drama anak-beranak itu semakin semakin hangat. Mulanya Mak Cik Tijah hanya memasang telinga, malas kononnya nak masuk campur. Tapi bila sesi bercerita bertukar menjadi jerit pekik, Mak Cik Tijah pun tak boleh tahan juga, dia pun nak menangis sama. Dari tadi dok tahan je mendengar orang bercerita. “Syukur alhamdulillah, doa ibu dimakbulkan Tuhan, anak ibu yang ibu rindu selama ini rupa-rupanya sudah dekat di depan mata. Eliza rupanya anak ibu.” Datin Umi Sarah masih dalam tangisan. “Ibu, Eliza.. Eliza tak sangka dapat jumpa ibu sekarang.. huhuhuhuu” Eliza turut melagukan tangis walaupun gembira. Mak Cik Tijah mendodoikan baby Edy yang terkejut dek kerana ibu dan neneknya yang masih mengongoi entah gembira atau sedih, makin kuat menangis adalah. Dalam pada keriuhan dua beranak yang berpelukkan itu, kedengaran salam dilaungkan dari luar rumah. Nurul dan Aisyah yang menyerbu masuk sebenarnya kehairanan bila salam berkali-kali itu disahut sambil suara orang menangis bertingkah-tingkah memenuhi ruang. Manalah tahu entah-entah kemalangan apa yang terjadi selepas seminggu Eliza ditinggalkan di kampung. “Kak Aisyah… Nurul… Ini.. ini auntie Sarah ni.. ibu aku..!” Eliza memberitahu dalam sedu sedan yang masih bertali arus. Pelukkan Datin Umi Sarah dileraikan dan tangisan mereka sudad sekikit reda. “Masya Allah…” iti sahaja yang termampu diluahkan oleh kedua-dua temannya. berita gembira.” Mak Cik Tijah menyuraikan keadaan. Ketawa sambil menyeka airmatanya Datin Umi Sarah menjawab, “ Kak Tijah, seronoknya saya ni bukan kepalang. Selama ni saya sangka dah tak akan jumpa anak saya lagi, tapi Tuhan tu Maha Berkuasa, bila saya jumpa anak saya, sekali dah ada cucu.” Nurul dan Aisyah yang baru saja tiba tambah terkejut dengan penerangan Datin Umi Sarah, mereka berpandangan dengan mata berkaca-kaca. “Aku tahu kau pun tak percayakan?” Eliza menepuk bahu Nurul. Sekali lagi mereka bercucuran airmata gembira. Labels: Jangan Ada Benci |